Wednesday, 26 June 2013

Modernisasi tanpa westernisasi

apa nanti rupa modernisasi
tanpa gen gen westernisasi?
Satu dunia yang terlalu asing,
pada insan yang ketinggalan.

tapi bukan tak pernah berlaku,
cuma kita memperkecil terlalu,
gagasan besar itu pernah kita gapai,
satu masa dulu.


modernisasi tanpa westernisasi
memerlu seluruh setuju
jika ingin dituju 
diperlu sepenuh usaha
mengislamisasi ilmu.




25 Jun 2013
Universiti Selangor.


Gagasan agung SN Al Attas ini mari kita dakap sama.

Daie Tak Didendang



Mereka yang dibilang cemerlang,
dengan kredibiliti tak tersanggah terbilang,
terkadang azamat menderu datang,
maka terkesima semua saat dia mencanang,
tapi terlalu pantas pula bila menghilang,
tak difikirnya lagi untuk pulang.

Tapi insan tak dipandang,
dengan jasa tak dikenang,
cakap dikira sumbang,
daie tak didendang,
mereka lah yang sampai sekarang,
mengemudi dakwah dengan perahu usang,
biar dayungan berseringan pincang,
tetap teguh kasih dan sayang,
tak luntur dan futur dalam berjuang.



27 Jun 2013
Universiti Selangor, Bestari Jaya.

Rasa penghargaan buat adik adik yang tak pernah futur dalam berdakwah. Rasa memang langsung tak setanding mereka. Hebat sungguh semangat mereka biar selalu dipandang enteng.

Sunday, 23 June 2013

Jerebu

Sini baru jerebu
yang tak selalu
Suriah puas mandi peluru
sayu yang terlalu.

23 Jun 2013
Bestari Jaya

Monday, 17 June 2013

Citra Palsu

Media tak betul,(memang selalu):
ada terkadang dia menipu
dimanipulasi faham yang dah tentu
dengan pencitraan penuh palsu

dan rakyat terkeliru, tak tahu
harus dipercaya mana satu

Maka harus kita
jadi bijaksana dalam menyikapi
sesuatu dengan sepenuh waspada
jaga lah diri dari mendakapi;
kemas, seluruh rasa percaya



17 Jun 2013
Universiti Selangor, Bestari Jaya


Saturday, 15 June 2013

Erti Pergantungan

Kerna selalu ke mana pun berteman;
ditanya diri dalam keselesaan;
Apa erti pergantungan;
pada Tuhan, pada insan?

sampai waktu mentakdirkan
harus dia sendiri cari jalan
untuk pulang tak berteman
di jalanraya kesaorangan

dalam keliru dan tidak tahu
mana arah dipilih untuk dituju
dtanya pada seluruh yang lalu
diharap penuh pada Hidayah Tuhan

Maka hari ini,
faham lah dia;
akan erti pergantungan;
pada Tuhan, pada insan.


15 Jun 2013
Universiti Selangor, Bestari Jaya.

Hari ini  pertama kali, sendiri pulang dari Gombak ke Bestari Jaya. 

Darma Tahunan

Sakin waktu mendakap tiba
Dalam terlalu azamatnya suasana
ada debar nan seni sabar menanti
acara dirindu darma tahunan.

Dan mega tak lagi sorok rembulan
kafi sempurna dalam pandangan
Telah mercup sudah pertanda
Tiada perlu lagi diterka.

Dan gapura kasihnya penuh terbuka
terawur barakah ke seluruh buana
laksana rintik hujan nan halus terlalu seni
menyuburi rimba yang teramat dahaga.

Ahlan wasahlan baiknya ungkapan
Tika Ramadhan nanti pula bertamu
dan sebelum ayal baik awal meminta
mohon maaf hai kalian semua.




Last Edited  15 Julai 2013
Universiti Selangor, Bestari Jaya.
Original dated 18 Julai 2012
Jeram , Kuala Selangor.

Puisi

Ada berkata bahwa puisi
lebih pantas dalam menyurai
kelompok manusia ramai
dibanding tembak gas pemedih mata

Kerna puisi tercipta
untuk dialir dengan rasa yang sama
dalam duduk bersendiri
tika waktu waktu syahdu
direnungi sesampai makna
dan bergetarlah jiwanya.


15 Jun 2013
Universiti Selangor, Bestari Jaya

Pengalaman memang mengajar kita. Dalam beberapa ketika aku mendeklamasikan puisi di beberapa acara, banyak yang melarikan mata dari tumpu menghimpun seluruh rasa.

Hutang

Kita ini lahir sudah berhutang
berlilit di keliling pinggang

pada yang rasa punya hutang
Lekas disini selesaikan sekarang
kerna ini satunya ruang
kita bayar pada pemiutang



15 Jun 2013
Universiti Selangor, Bestari Jaya.

Terinspirasi dari buku Islam Faham Agama dan Asas Akhlak karya SMN Al Attas yang membincangkan Din itu antara lain maknanya sebagai hutang. Hutang antara kita dan Tuhan. Hutang berupa tanggungjawab perlu dilunasi sang Khalifah.

Thursday, 13 June 2013

Makanan dan Pemikiran

Menbuat makanan.
Harus ada acuan,
ada penapis,
ada bahan.

Harus ditentukan pula
kelembutan tekstur,
sukatan bahan,
kesesuaian bahan,
kehalalan bahan.

Harus difikir lagi,
tentang rasa, perisa,
tentang rempah dan bermacam lagi,
supaya akhirnya nanti,
kena pada selera kita.

Begitu juga dalam menilai,
ideologi dan pemikiran.
Bukan semua boleh kita,
sumbat muat begitu saja.


13 Jun 2013
Bestari Jaya

Keris, Lok dan Hulu

Keris keris ini,
dulunya jadi lambang;
identiti tuannya,
jadi pembeza antara kedudukan,
apa dia raja, bangsawan,
atau marhaen cuma.

Namun keris keris ini;
Biar loknya;
tak sama bilangan;
biar hulunya;
beza pada ukuran;
semua punya;
sudut kecondongan.


seakan beri ingat pada insan,
baik kau raja atau murbawan,
baik kau kaya atau miskin,
semua sama di hadapan Tuhan,
hanya taqwa membezakan.



13 Jun 2013

Inti dari perbualan bersama YPD Persatuan Pusaka Perkerisan Kuala Lumpur di suatu wacana yang saya hadiri sekitar September 2012.

majikan yang sama

berkali kali ,dia;
si suami,
bertukar jawatan,
rakan kerja,
tempat kerja,
tapi akhirnya masih,
dengan majikan yang sama.



13 Jun 2013
Bestari Jaya


Cameron Highland

Cameron Highland
yang dinginnya
menusuk terus ke tulang
esok esok
tak kan dapat
ku singgahi lagi



rediscovered on 13th Jun 2013
Universiti Selangor, Bestari Jaya.

Asbab Sengketa

Banyak ku lihat
serta mampu ku baca
dalam sehari ke sehari
selalu khabar yang melata
tak dilihat hujung pangkalnya
tak disiasat dari pihak kedua
dipercaya seluruh semua
tuduhan satu pihak cuma

memang banyak terjadi sengketa
asbab dari bersangka sangka

Terjadinya sengketa
baik nano atau mega impaknya
asbabnya selalu sama
namun kita tetap angkuh
tetap menolak untuk memahaminya
dan begitulah sengketa terjadi lagi.


13 Jun 2013
Universiti Selangor, Bestari Jaya

Wednesday, 12 June 2013

Memang Genetiknya, Genetik gila bertaruh

Genetik gila bertaruh dari leluhurnya
seperti tak pernah sirna
Kini dengan angka berlipat ganda
Pertaruhan main juta juta

Jika leluhurnya dulu
Semayam bertaruh 
pada ayam sabung
Lebih lagi dia kini
Dua pasukan hendak bertarung
Ditentukan sudah mana menang
Mana kalah
Sebelum lagi sepak mula

Yang kasihan penyokong fanatik
Yang turun dengan penuh semangat
Yang menyokong dengan seluruh tekad.
ikut sama dalam gegak emosi.

Celaka apa ini melanda kita
Jika kepala sudah senget sebelah
Manakan boleh diharap anggota lurus semua
Tapi harus kita sedar kita punya suara
Harus kita ingat ini negara kita
Yang kita kongsi bersama 
bukan milik seorang dua
harus dihabiskan wang negara
kemana alirannya
ikut suka hatinya saja




13 Jun 2013
Universiti Selangor, Bestari Jaya
dengan segelas neslo , butir sembang yang beratnya berkilo kilo.

Tuesday, 11 June 2013

Tahafut Yang Menggegar Dunia Filasuf

Maqasid Falasifah kitab bernama
karya agung insan azamat luar biasa
dan terbinalah wibawa dan pesona
pada mata tiap ahli filasuf yang ada
tidak tersangkal dalam fikirnya
tidak tertolak pekat fahamnya


Tapi insan luar biasa
sentiasa penuh kejutan di dada
kitab pemula diselingi segera
Tahafut Al Falasifah demikian nama
jadi penoktah penipuan falsafah
walau Ibn Rushd sedalam fikirnya
cuba menghujat dengan Tahafut al Tahafutnya
hujah tiada dapat dipatah
riwayat dusta dunia falsafah
tak lagi bangkit dihabisi sudah


dan kini ramai pula lagi bertanya
atau cuba mempersoal dengan sengaja
atau benar tidak tahu dalam leka
apa sebenar sumbangan besar Al Ghazali?


12 Jun 2013
Bestari Jaya

Hebat kan Al Ghazali?

tebakan dan muslihat ideologi

Lama dulu Lincoln berseru
dalam menilai tiap fikir yang bertamu
tiada yang sempurna baiknya
tiada yang habis buruk segala semua

maka harus diteliti dengan seni
nilai tiap idea idea baru
tekuni dalam diam syahdu
tebakan dan muslihat ideologi baru

kerna ideologi baru 
keras menebarkan haru
menfitnah kejahatan sesuatu
yang belum nyata tentu
dan kerja sekeras tenaga
menghabisi riwayat semu
tiap yang jadi seteru



12 Jun 2013
Bestari Jaya


"This careful evaluation of ideas is an implicit rejection of ideology. Ideologies thrive on making
broad accusations of the evilness of a thing, and will do whatever it can to eliminate it."


Barack Obama: The Unadjusted Man by Daniel McNulty.

Maqasid Hakiki

Pada yang masih tercari cari
maqasid hakiki penghidupan ini
Lekas buang jauh sifat haiwani
Cergas lepas seluruh rasa insani
Tegas dakap penuh akhlak rabbani

sembah puji syukur pada Ilahi
lebar sepenuh sayap khauf dan raja'
tebar seluruh yakin padaNya
Sungguh itu maqam tertinggi
mampu dicapai entiti kerdil ini
cukup memenuhi cita Ilahi




11 Jun 2013
Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Saturday, 8 June 2013

Sekali , Dua kali

Sekali runtuh;
ku dongak kepala;
dua kali runtuh;
ku geleng kepala.

entah..
mana letak rasa amanah,
pada yang terpercaya,
mana letak rasa bermaruah,
pada yang berkuasa.

dan mereka masih berkata,
ini bukan lah apa,
tapi bagi kita,
ini sudah cukup celaka.



9 Jun 2013
Kuala Selangor
Penang Bridge

Friday, 7 June 2013

Tapi Aku kan lelaki

Bicaranya terus dari hati,
harap seluruh didengari,
dimintanya bukan solusi,
yang ditagih rasa empati.

Tapi aku kan lelaki,
terus lupa tiap tika.
harap bukan terakhir bicara,
pinta lagi ruang kongsi.


7 Jun 2013
Kuala Selangor

Thursday, 6 June 2013

Too Precious

Time is too precious,
to waste on El James',
find and marry a girl,
play the real game.

Wednesday, 5 June 2013

Bersedia untuk Tidak Bersedia


kita takkan pernah
merasa cukup sedia,
untuk berbuat apa,
kerana kesediaan 
berakarkan keyakinan,
yang belum kita punya

maka mari kita sama,
Selama degup masih terasa,
kali ini kita bersedia,
untuk tidak bersedia!

kerana dalam ketaksediaan,
baru ada pengamalan,
dan pada pengamalan,
baru ada pengalaman,

cukup bukan pengalaman,
buat tampung ketidaksediaan?
cukup bukan pengamalan,
buat bentuk pengalaman?




4 Jun 2013
Kuala Selangor

Ayat klise, namun ayat ini lah yang telah membentuk aku, untuk sedia pada apa pun cabaran. Meski hasil jauh dari sempurna. Tapi sentiasa ada masa untuk pembaikan.

Di Kala dan Sesudah Cabaran

Kala cabaran dihadapi,
atau ada masa cuba dinafi,
selalu terduduk insan,
putus sudah harapan,
dilupa ihsan murbawan
di alpa kasih Tuhan.

begitu lah insan.

Sudah cabaran ditempuhi,
jadi modal dalam bicara
di kedai kedai kopi
atau di ucap tama
sampai seluruh merasa bosan
cerita diulang bukan sekali

begitu lah insan.


4 Jun 2013
Kuala Selangor

Sebuah Universiti

Awal melangkah
hanya merasa indah
sakin diperhati
sakin ia kafi

aku rupanya di sini,
di sebuah universiti,
yang seharus melatih ilmuwan,
mendidik insan,
memberi pencerahan,
mensirnakan keraguan,
membuang kejahilan,
bukan kilang cetak pekerja.


5 Jun 2013
Kuala Selangor

Bila Pergi.

Terkadang jauh mencari,
suri peneman mahligai hati,
terkadang pula ternanti nanti,
sebuah jawapan yang belum pasti,

ada yang dekat tak disedari,
dari dulu hingga kini,
setia dekat menemani,
sampai kau sedar nanti,
bila ia pergi dari sisi.


5 Jun 2013
Kuala Selangor

Menung nan dalam

Dalam azamat kecamuk manusia bertebaran,
Membahas keputusan didapatkan,
Atau waktu akhir suatu tugasan,
Atau pusing fikir hal peperiksaan,
Terduduk diam seorang insan,
Menung dalam yang merenungkan,
Inti fundamental suatu pendidikan,
Pendikotomi kafi antara sebenar ilmuwan,
Atau pemperasan dalam lingkup kepalsuan.



5 Jun 2013
Kuala Selangor

Tuesday, 4 June 2013

Antara Mat Indera dan Leftenan Adnan

Kerana harap makin lusuh
suasana nan sakin keruh
cari lindung tempat teduh
di khemah khemah musuh

dua seteru asing saling gaduh
kita dipaksa pilih bersama musuh
angkara tak daya sendiri merusuh
kita pula saling jadi musuh



Siapa perwira negara?
Siapa pengkhianat bangsa?
Jawabnya tak ku punya
Tapi aku tahu,
kerana tak daya,
nasib kita begitu.



4 Jun 2013
Kuala Selangor

Sunday, 2 June 2013

Dulu Takut

Dulu takut
sekarang tak takut
entah apa patut ditakut
pada yang sekarang sedang takut



Kuala Selangor
3 Jun 2013

Tamsil

Menurut faham mu,
apa tamsilnya merindu,
bila di hati tiada bertamu?
apa tamsilnya mencinta,
bila di hati belum berputik suka?
apa tamsilnya setia,
bila di hati ada yang kedua?



2 Jun 2013
Kuala Selangor

Bukan Saja Kerna Lawa

ku pandang bukan saja kerna lawa,
atau tertarik dengan pesona,
ku pandang kerna pada rupa,
ada tersembunyi lagi wajah,
yang padanya ada kod terahsia,
yang perlu dipecah jadi data,
data menjadi informasi,
informasi jadi interpretasi,
interpretasi ku simpan jadi memori,
untuk bandingan masa hari muka,
mana satu dihati nanti bertakhta.


2 Jun 2013
Kuala Selangor

Bila Disuruh Bicara

Aku mahu bicara
engkau mencelah
aku suruh bicara
kau bungkam
sebenarnya engkau ini dah kenapa?


2 Jun 2013
Kuala Selangor

Saturday, 1 June 2013

Mampan, Mapan, Mempan

Jika mampan ini
dari dokongan
Harus mapan nanti 
biar dari teguran

Pujuk rayu insan
kelak jangan termakan
seluruh sisi mempan
semua hadap pada Tuhan



2 Jun 2013
Kuala Selangor

Tampak Saling Oposisi

Dua dunia tampak saling oposisi,
namun satu nilai sama dikongsi,
kalau bukan mampan ekonomi,
esok berdua tiada dapat berdiri.


2 Jun 2013
Kuala Selangor
On Marxism and Capitalism.

Letak pada Tempat

Dari sisi mana melihat,
Bagi siapa menghujat,
atas apa mercup niat,
bawa letak pada tempat.




2 Jun 2013

Baru Mahu Dikata

Goncang dahulu
supaya kekal lama
Sudahpun berlalu
baru mahu dikata


2 Jun 2013

Yang Kamu Itu & Yang Kamu Ini

Yang kamu itu, 
cerdas terus jana ekonomi,
Yang kamu ini,
bingkas lekas bangunkan diri.

2 Jun 2013
Kuala Selangor

Permai

Negara ini akan permai,
bila tidak saling bertikai,
akan cereka tak perlu dihurai,
akan perihal boleh semeja menilai.



Kuala Selangor
2 Jun 2013