Tuesday, 30 July 2013

Apa itu Hari Kemerdekaan?

Apa itu Hari Kemerdekaan?
ku cuba cari di tepi lorong jalan,
sebuah persoalan yang perlu jawapan, 
bagi meredamkan resah kekeliruan.

namun yang kafi di pandangan,
hanya tampak pesta anak muda mengawan
ronggeng menggila bagaikan sawan
mabuk macam sudah kesurupan

lalu ku tanyakan pada satu pasangan,
yang baru lepas tadi hangat berciuman,
terpacak rambutnya yang si jantan,
nampak lurah dada si perempuan,

dan sekian ku dimaklumkan,
ia hari bebasnya dari penjajahan,
maka sakin yakinlah ku punya perasaan,
budak budak ini benar tak siuman.


31 Julai 2013
Jeram, Kuala Selangor.

Apa erti Merdeka?


Apa erti Merdeka
jika disambut penuh suka suka
dengan teriak menggila
tak difaham sebenar erti merdeka

Apa erti Merdeka
kalau jadi musim mengawan anak muda
pesta mabuk dan ronggeng menggila
maksiat sakin membahana

Apa erti Merdeka

pada jiwa jiwa terpenjara
akan kesenangan dunia
lupa tujuan hidup kita

Apa erti Merdeka
bila saudara di Arakan diseksa
yang di Syria perlu dibela
di setiap ceruk buana ada masih duka

memang..
perjuangan orang lama
tak pernah kita lupa
tapi perjuangan kita
selalu kita leka


31 Julai 2013
Jeram, Kuala Selangor

'Blurred Copy'

Mereka mahu kita 
jadi seperti mereka
kita pun semampu cuba 
jadi seperti mereka

hatta ditiru dari segala segi
baik buruk tak diteliti guna hati
mimikri tetap tak jadi jadi
sana sini wujud ambivalensi

maka pincanglah segala yang asli
dan sumbanglah segala yang diikuti
terhasil bangsa 'blurred copy'
tak lagi mengenal erti jati diri


31 Julai 2013

Jeram, Kuala Selangor.

Mentertawa dan ditertawa

Jangan sekali ditertawa
pada walang menimpa saudara
kerana takdir juga punya upaya
nanti kelak pula ditertawakan kita


31 Julai 2013

Jeram, Kuala Selangor.

Monday, 29 July 2013

Falsafah


Falsafah bawa kita tuju,
tiba makna akan sesuatu,
dan faham yang telah tentu,
diputar belit juga ia mampu.

maka kita jadi ragu lagi keliru,
sebenar apa yang kita perlu?


30 July 2013
Jeram, Kuala Selangor.

Umat dan Bangsa Kolektivis

Hak asasi seharus berlegar
hanya pada praktik perundangan, 
bukan sebagai cara 
menjalani kehidupan.

Kita umat dan bangsa kolektivis
yang perlu pada penglibatan segala sendi,
bukan umat dan bangsa individualis 
yang boleh hidup sendiri sendiri.


29 Julai 2013
Jeram, Kuala Selangor

Saturday, 27 July 2013

Tahun ini : Tiada Baju Raya Baru

genta rasa membisik bahaya yang bertamu
tapi daya fikir lagi dominan dalam menyeru
bahawa jalan ini yang ku perlu
cepat sampai ke tempat dituju
maka bertawakal yang terlalu.

dibahu jalan kuda hitam liar dilepasi
dipanjat syukur seboleh syahdu
rupanya ada lagi kuda putih sedia menunggu
pasrah lah diri 
mana lagi hendak ku lari

lalu kad raya percuma tak dipinta itu
ku terima dengan sepenuh sendu
khayal jauh menerawang berkira kira
tahun ini untuk aku 
tiada lah baju raya baru.


:'(


10.40 AM
28 Julai 2013
Ijok, Kuala Selangor.

reinstallasi dunia Melayu

Bicara reinstallasi dunia Melayu
bukan sekecil hal kopiah atau songkok
mahupun kembali pakai busana dan tengkolok
bukan juga sebatas fasal keris berapa lok

reinstallasi dunia Melayu 
harus membincang peranan seboleh perlu
tegas tampil bela derita seksa yang terlalu
lekas umat melarat dibantu semampu


28 Julai 2013
Jeram, Kuala Selangor

Kalau Merasa Agung

diri terpanggil merasa amat agung
kerana jarang dicari masa merenung
kerana insan didekat tidak menyinggung
akan tampil peribadi bodoh sombong lagi bohong

mulianya kita ini
bukan asbab dari pencapaian diri
mulia kita kerana Allah sembunyi
hina dan cacat yang di dalam ini



7.50 AM
28 Julai 2013
Jeram, Kuala Selangor

Benih Tak Terbaja

benih benih rahmatan lil alamin
telah lama ada tersemai ia
terbiar sendiri tak terbaja 
di lapang tanah tandus
di dataran tanah subur
di likat tanah liat jerlus
di gua gua batu kapur

maka bertebarlah mulakan kembara
ke setiap pelosok penjuru buana
bajakan ia dengan santun dan budi hemah diri
pelihara ia dengan ikatan ukhwah tak tertandingi
agar benih benih itu tumbuh merimbun
mengakar kuat dengan kalimat yang satu
megah tegak diri dengan azam murni senada harmoni




7.30 AM
28 Julai 2013
Jeram, Kuala Selangor

Hari ni ada paper Principle of Language Learning and Teaching (@ 2.00 PM) tapi sempat lagi tu buat piece baru.

Seakan Siren Kecemasan

Suara senada kedengaran
seakan siren kecemasan
anak lelaki lari cari gua harapan
anak perempuan mencebik muka mendengarkan

Tapi si ayah tenang berhadapan
disabarkan kocak perasaan
dirasionalkan kotak fikiran
kerana bebelan sudah jadi rutin harian.


28 Julai 2013
Jeram, Kuala Selangor

Polisi Baru di Kala Raya Sakin Bertamu

di universiti antah berantah itu
di kala pagi ramadhan syahdu
membilang hari bila raya bertamu
tiba tiba jadi haru.

Bilik bilik kuliah diserbu
pelajar disaman segala salah laku
kemudian sepasti suara diberitahu 
kita punya polisi pemakaian baru!

ku kira ini
tragedi yang takkan berlaku
di kala hari hari seperti selalu
bila duit langsir dan perabot dan baju
belum jadi perlu.


27 Julai 2013
Jeram, Kuala Selangor.

Friday, 26 July 2013

Saksi matinya kreativiti

Anak anak terpuruk
di depan tv ceratuk
Kreativiti mati
dan tv jadi saksi
biar ia benda mati
dan pemati kreativiti


Jeram, Kuala Selangor
26 Julai 2013

gerabak kehidupan

Masa menumpang gerabak kehidupan
kita tak lari dari kegelinciran
asbab dari kelicinan landasan
yang belum dalam pengetahuan
tak dapat ditebak oleh fikiran

layaknya kita sebagai insan
jika diambil iktibar dari kesilapan
jika percaya penuh pada perbetulan jalan
kelak sirna lah walang keresahan
kelak seluruh diri merasa aman


Semoga mehnah dan tribulasi ini, jadi medium pematangan diri.


24 Julai 2013
Universiti Selangor, Bestari Jaya.


Books for the needs

Books are for read
how can you just keep?
that would be wicked
Why don't you give to the needs?


26 July 2013
Jeram, Kuala Selangor.

How I Became A Freemason

Erelong ere while,
I was a mason,
bricks is my play,
hot burning sun is my day.

but then,
I am no mason any longer,
so now, call me may be,
a free mason?


26 July 2013
Jeram, Kuala Selangor.

Wednesday, 24 July 2013

bukan barang nan semu

di tengah malam syahdu
di kala hati penuh sendu
bertadah tangan mengharap yang terlalu
barang diminta bukan barang nan semu.





17 Julai 2013
Universiti Selangor

Eureka Rasa


Tiap lorong yang ku jangkaui
punya lakaran warna yang berbeza
terpotret pada wajah tiap dari mereka
akan cerita terbungkam 
disorok seboleh dalam
dibalik altar rasa
penuh terahsia


dan setiap langkah yang ku lakukan
aku sakin yakin merasakan
akan suatu eureka rasa 
yang telah lama sirna
terfutur dengan kesenangan di seberang sana
ya, aku dengan mereka
dari jati dan asli yang sama



20 Julai 2013
Patani Darussalam

Monday, 22 July 2013

tawa dalam duka

Tawa mereka
tawa dalam duka
suka mereka
suka dalam lara


20 Julai 2013
Patani Darussalam 

Makanan

Makanan terhidang
sinis dipandang.

Digenggam masih ia diam,
ditoreh toreh tak sedikit menoleh.
Memang begitu resmi santapan, 
tiada daya upaya untuk menolak, 
apalagi melawan.

Berserah sepenuh patuh 
pada mulut mulut dan perut perut 
yang penuh nafsu,
atau terbiar membusuk 
tak sedkiitpun terusik.


10 Julai 2013
Universiti Selangor

Patani

Awal melangkah 
bergalaulah resah
sakin akhir dinoktah
sakin tersemi rasa indah

Memang kembaranya 
kembara tak lama
pulang nanti perkemas cara gaya
persembah sepenuh difaham cerita

akan suka
akan derita
akan cita 
akan rasa

orang orang Patani
yang dihambat duka


21 Julai 2013
Patani Darussalam

Monday, 15 July 2013

Rohingya

Raja Bengal yang memayungi, 
kerabat Min Saw Mun yang mematuhi, 
sudah tiada 
dipaksakan masa. 


Rohingya  
terbiar melarat
di biru laut 
di kuning darat. 


kita diperlu
bantu semampu
menamat riwayat 
walang saudara malang.


16th Julai 2013
Universiti Selangor

lalat itu benar benar pergi

'Jika kau terbang ini
dengan kuasa Ilahi
Jika kau datang ini
dengan ketentuan Ilahi
seberapa pantas lekaslah pergi
dan jangan ggangu aku lagi'

lalat itu benar benar pergi
dan tak kembali menggangu lagi


16th Julai 2013
Universiti Selangor

PM kita benarnya terlalu

PM kita benarnya terlalu 
diseru diambil iktibar pada yang berlaku
kita sambut seberapa perlu
bahawa demokrasi terlalu palsu
jika tidak mengenyangkan kapitalis penuh nafsu

PM kita benarnya lagi terlalu 
dicanangnya perubahan tak menjanji keamanan
kita setuju tanpa sedikit pertikaian
memang dijanji bukan keamanan
tapi pengupayaan daya dan fikiran
bagi melawan kebobrokan.. kezaliman

16th 2013
Universiti Selangor

Penggulingan Bukan Kekalahan!

Penggulingan ini bukan kekalahan!
tidak! 
Ia kemenangan tertangguh
Betapa Erbakan juga pernah merasakan
detik dan skrip yang serupa

dan Erdogan
murid yang terpelajar
ditekuni mana salahnya
diperbaiki mana lompangnya 
hari ini dia disegani
hari ini dia digeruni


Morsi baru akan terus lahir
akan dipersiapkan Mesir
menuju proses yang sama
biarpun waktunya tak tahu bila


16th July 2013
Universiti Selangor

Saturday, 6 July 2013

kesurupan apakah ini?

Ada di Mesir,
digulingkan dari kuasa,
ada di Malaysia,
berguling terlalu suka.

kesurupan apakah ini?



06 Julai 2013
Universiti Selangor

Thursday, 4 July 2013

Perlawanan

Perlawanan masa kini
berlaku terlalu seni
ada yang di mata 
tak lagi dilihat dengan kafi
ada di kalbu
tak mampu dirasai

Memang umat kini dipersimpangan 
Antara ragu dan semesti pasti
mana satu ramu penuh palsu
mana sebenar asli inti jati

Bangkitlah
berjuanglah
teguhlah
demi gemilang yang dirindu
dan kita akan menuju kesitu
menongkah derita yang semu



5th July 2013
Universiti Selangor

Bagaikan Gegelang Besi

Perumpamaan kita ini
cuma gegelang besi penyambung 
Kita tak ada nanti
yang lain sambung menyambung.


30 Jun 2013
Universiti Selangor

Terkadang bila merasakan diri sudah berbuat lebih, kita akan lupa kita ini sebenarnya tak ada apa apa.