Thursday 30 May 2013

Pedagogi Orang Susah


Harus kita pegang sungguh;
pada pedagogi orang susah;
mana mungkin berjaya;
jika bergelumang kemewahan,
mana mungkin gagal,
jika terjepit oleh kepayahan.

Istimewa yang terkarunia,
terkadang tidak mencetus wibawa,
lagi boleh mengundang binasa.
jika baja murah terus diguna.
Pada benih yang ingin dicambah,
jadi pohon yang teguh tumbuhnya.



24th May 2013
Kuala Selangor



Di Kampus lain, di Kampung Lain

Di kampus di mana,
Pensyarah, Pelajar dan Dekan,
tiada tidak mengenal sosok si insan.
hebat dalam komite juga persatuan,
nama kian mekar nan jadi sebutan,
tapi pulang ke kampung halaman,
JKKK pun tiada mengenal,
anaknya siapa dan di mana tinggal.






30th May 2013
Inti ucapan dari Presiden PKPIM Pusat, Abang Fahmi Samsudin. Rasanya ketika kami bersama dalam satu usrah gabungan di UPM, sekitar bulan April 2013.

Kalau Tidak dari Bawah Melangkah..



Falsafah orang lama seolah bernada;

"Apa kerja ini boleh ajar saya"; 
Tidak bergaji pun tak apa;

Seperti orang Jepun masa dulu;
yang bergaji dengan sekepal nasi.

Tetapi;
falsafah orang masa kini;
dalam soal kerja cukup bedanya;
"Berapa kerja ini boleh bagi saya";
Kalau pada kelulusan tiada senada;
Tidak mahu dia kerja.


dan tetapi,
Kalau tidak dari bertatih dilatih,
kalau tidak dari bawah melangkah,
dari manakan dikutip pengalaman?
dari manakan digapai kemahiran?
Harus sendiri tanya si tuan badan.



30 May 2013
Kuala Selangor
Inti dari perbualan dengan dengan tuan kedai makan di Pantai Remis.

Mentaliti Kuli #2

Mim Ya Lam Alif Ya Alif,
terkenal hebat di Universiti,
Tapi tidak di dunia realiti,
berebut mahu makan gaji.

kau beri lah bantuan itu ini,
mereka tetap kan tak terkesani,
kerana pekat likat seluruh diri,
dengan mentaliti seorang kuli.

Kerna itu tiada salahnya,
bila Ca Ya Nun Alif berkata,
"Mim Ya Lam Alif Ya Alif?"
Bolo ; makan tinggal suap saja.




30 May 2013
Kuala Selangor
Inti dari perbualan dengan tuan kedai makan di Pantai Remis

Wednesday 29 May 2013

Pelajar : Watak Sesak

Pelajar adalah satu watak,
yang hari harinya selalu sesak,
digandingkan selalu pula,
bersama watak dengan cita laba,
sang tuan rumah yang tamak.

Betapa nantinya menarik,
satu plot kresendo konflik,
yang nanti mengajarkan insan,
bahwa transisi ke alam dewasa,
wujud satu dikotomi yang luas.



30th May 2013
Kuala Selangor
Inti dari pengalaman sendiri.

tertindas jadi penindas

Amukan terpendam kian menerjang,
siapa mendekat pasti diterajang,
asbab dari ketakutan terdalam,
yang tak mampu dizahirkan,
pada yang membuatnya kesurupan,
Jadilah yang tertindas hari ini penindas.





30th May 2013
Kuala Selangor
Inti dari pembacaan buku Paulo Freire : Pedagogy of The Oppressed.


Tuesday 28 May 2013

Ini Yang Kau Perlu?

Di celah rancak kecamuk manusia,
mengejar CGPA; membodek, fotokopi segala,
ada genta seru menyurupi gapura kalbu;
"Pendidikan beginikah yang kau perlu?"




Namun,
kau memilih berpura pura mati,
berteman bangkai nan mereput,
supaya kau tak diketahui,
masih punya nafas yang berbaki.



29th May 2013
Kuala Selangor

Inti dari perenungan diam pada masa masa kelam, bersemarak apabila membaca buku dikarang oleh sahabat, Zul Fikri Zamir : Sekolah bukan Penjara, Universiti bukan Kilang dan membaca kritikan pedas Al Maududi ketika di satu pesta konvokesyen di sebuah universiti di India. Apalagi apabila berbual dengan seorang watak yang kini melanjutkan pelajaran pada peringkat PhD dan rupanya, berkongsi pandangan yang sama. Mungkin boleh diolah dengan bahasa lebih sopan, tapi diri merasa biar kekal keras, seperti cara Al Maududi.

Sunday 26 May 2013

Yang Mudah Saja




Mantan pimpinan
semua pernah merasakan
detik detik menggugah
sebelum hari ini bergelar
pemimpin dan pemikir.

Insan insan ini sentiasa
di dekat dekat kita,
Namun auranya tak terasa,
kerana kita ingin selesa,
berbuat yang mudah saja.








# Entah kenapa malam ini terasa hidupku selama 21 tahun ini masih kurang bermakna kerana aku belum pernah melakukan sesuatu yang signifikan kepada diri, apatah lagi kepada manusia. Hati ingin meneladani jejak pimpinan yang terbiasa dan pula rela mewaqafkan diri untuk islam di luar negara paling kurang 6 bulan berbuat bakti pada manusia. Aku terlalu jauh dari itu, sekadar pengembaraan selama 16 hari di Indonesia melakukan penelitian sejarah dan membina ukhuwwah antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia ku rasakan sesuatu yang terlalu biasa. Terlalu rendah nilainya dibanding mereka yang lebih nekad dalam usaha dakwah tinggal di negara bukan islam dan mewaqafkan diri di sana. Banyak peluang.. Banyak ruang.. Tetapi kerana aku memilih untuk terus selesa, maka banyak terlepas peluang yang terhidang. Terasa diri sungguh celaka

Tetamu Pondok nan Semu

dua dasawarsa sudah berlalu
di pondok nan semu itu
Santai seorang tamu
yang masih lagi termangu
dari mahu bangun membantu
yang masih menghambur kata
dari bangkit menghulur jasa.

Namun pemunya pondok itu
masih memberi segala diperlu 
sampai mercup waktu
harus dia pergi
lekas penuh sedar diri
atau tegas seluruh paksa
pulang ke tempat asalnya.  27/5/13, K. Sel

# Dua dawarsa itu usia ku.
tetamu itu aku.

Kuasa dari Alter Terahsia



Jika pun dikurnia

keistimewaan segala, 
namun jika ia,
berjati mentaliti kuli,
tetap kuli lah nanti
walau berkurun lama
kau setia memberi.


Tapi yang ternafi

hak istimewa,
kouta tak saksama
namun punya mentaliti
ingin jadi penguasa, 
nanti akan kau saksi
bagaimana dia menguasai, 


walau di balik sisi sisi,
yang tak tersangka.
walau di balik alter terahsia,
dia akan berkuasa.









26th May 2013
Kuala Selangor

Fasa Muda, Dewasa dan Renta

masa muda remaja
masih kuat tenaga 
masih lapang masa
biar wang amat langka


masa nanti dewasa
wang cukup cukup menyara
dan tenaga untuk kerja
masa tak lagi dipunya


masa nanti tua renta
bila wang sudah melata
dan masa banyak tersisa
namun tenaga tak lagi dipunya



# dan bertanyalah nanti
kita jujur sama hati
di fasa hidup mana 
paling kita sanggupi
untuk hidup menebar bakti
pada agama, nusa dan manusia




26th May 2013
Kuala Selangor
inti kalau tidak silap dari kata kata abang Kamarul Azami, YDP ABIM Kuala Selangor, dalam satu perkongsian sekitar Disember 2012.

Ruqyah lawan Jin Majusi

Pada jasad nan membara
dan pandangan nan menyala
takbir dan azan diulangi
dilaung tiada henti

Al Mulk dibaca nan berkali
dicurah air nan berbaldi baldi
sampai berhambatan pergi
penyembah majusi


dan kaupun berlindunglah
dengan kalimah kalimah
Allah yang Maha Sempurna
dari kejahatan makhlukNya

26th May 2013
Kuala Selangor
Ruqyah lawan Jin Majusi

Friday 24 May 2013

Jurus Baru

Inilah barisan yang ditelahnya,
akan jadi jurus ampuh,
untuk menangkis segala serangan, 
lawan tak berpenghujung bertepi.

Tapi gelanggang negara bukan semata,
gelanggang tinju manusia pemuka,
menangkis penangan sang mantan,
atau serang hendap sang timbalan.

Gelanggang negara sepenuh,
lautan manusia yang azamat,
yang telah bosan dengan ragam,
manusia yang menilai dunia,
sebagai mutlak kepunyaannya.





20 May 2013
Kuala Selangor

on the new Malaysia's Cabinet 2013.

Gema Raung

lebih dalam kau meluka, 
lebih menggema raungnya
lebih jauh kau menduga, 
lebih menggelegak ia murka.



24th May 2013
Kuala Selangor.

Kerna Penjara itu Sekolah Yusuf


Kerna penjara itu sekolah Yusuf,
menemukan insan pada pangkal jalan,
tempat terhasil karya karya unggul,
tempat bersinergi segala sumber kekuatan.
Kerna itulah dirasakan
kuranglah amat kekesanan,
untuk terus memenjara insan,
yang tersedar lagi tercerahkan.

jika seluruh sepakat semua,
ingin terus teguh berkuasa,
menjadi rejim paling lama,
mencengkam murba,
Talaqqi sama Uncle Sam,
bagaimana membasuh minda,
anak anak muda berjati waja,
nan sakin menggelegak murka.






24th May 2013
Kuala Selangor

Thursday 23 May 2013

di mana dia ihsan?


di mana dia ihsan? 
pada hati hati yang tega, 
membiar saudara saudaranya di luar,
solat tanpa tikar dah cadar, 
hanya beralas jalan berturap tar,
berbumbung mentari membakar, 
sedang yang di dalam amat selesa,
berbumbung, berkipas,bertikar,bercadar segala.




24th May 2013
Jeram, Kuala Selangor

Kerna dia Murabbi


Kerna dia Murabbi
dia cukup mengerti
kekontangan jiwa 
mahasiswa tak berarah
lekas diseru tegas
memperbanyak ta'lim dan usrah



Kerna dia Murobbi
halaqah dipimpin penuh hemah
ungkapannya keras namun kaya hikmah
insan dibimbing dengan segala ramah


dan Kerna dia Murabbi
yang juga sangat insani
jauh dari sempurna 
namun dari ketidaksempurnaan juga
banyak yang kita boleh pelajari



23th May 2013
Kuala Selangor

'Dah ada"



"Dah ada";
dua gabungan kata;
yang cukup berkuasa;
menghindar sengketa,
menjauhi murka,
dalam penolakan santun,
desakan sang promoter,
yang sangat petah berkata.

Scriptum

I have by far seen
how fleeting flatter
falters and withers
your innate resolve to do better

for ; if what you seek
is what you want to hear
you will be hearken
of only the things you wish to bear

Bukan Mentaliti Kuli

Lama bertanya hampir serupa jawabnya
doktor, jurutera, peguam dan karyawan
lalu berdiri seorang anak Cina 
tegas diucap mahu jadi jutawan
sekelas berhambur gelak ketawa
lucu memenuhi ruang udara

tapi jika lekas diperhati 
dapat kau kesani 
dari situ berasal mentaliti
orang tidak mahu menjadi kuli


23th May 2013
Kuala Selangor

Masyarakat berminda pengguna


IPhone terkini bergegas dibeli
Galaxy dilancar segala inci diteliti
mengejar sensasi
itu yang direti

memanglah mereka ini
masyarakat berminda pengguna
merintis sudah terkubur
dari kamus hidupnya



23th May 2013
Kuala Selangor

Wajah bingung tak mampu diselindung


Engkau boleh terus memanipulasi
dapatan statistik dan angka kira
mempermudah sukatan silibus dari yang biasa
sebagai alatmu bagi menyokong durja
Tapi wajah wajah bingung
tidak mampu kau selindung




Molek benar kalau semua merasa
serupa apa yang kau rasakan
tapi realiti tidak membuah harap yang dicita
azamat ramai yang akan ketinggalan
jika idea yang menggila
ingin ke persada kau kembalikan



Harus kau dengar bukan elit di kota
yang telah selesa 
mengikut arus yang sudah terbiasa
lihat juga nasib marhaen di desa
yang berhempas pulas menafi culas
untuk sekadar menangkap makna



Harus kau perhati teliti
guru guru yang lagi gagap
bagi sekadar menyampaikan makna 
secara verbatim kepada muridnya




23th May 2013
Kuala Selangor

Medium yang dia Tahu

Pelajar Psychology itu tidak perlu
bantuan dari seorang yang faham Inggeris 
untuk menerangkan perihal Cultural Dimension
yang diusul oleh Geert Hofstede
Jika dia belajar dengan medium bahasa
yang dia benar faham dan tahu



Pelajar Library Science itu tidak perlu
bantuan seorang yang faham Inggeris
untuk menerangkan Five Laws of Library Science
yang diusulkan oleh Ranganathan
Jika dia belajar dengan medium bahasa
yang benar dia faham dan tahu





23th May 2013
Kuala Selangor

Pengguna tidak Berguna

dibeleknya kagum gajetnya yang terbaharu
Dulu Galaxy sekarang IPhone versi terkini
segala sumber wang dihabisi ke arah nan satu itu
agar dapat menikmati dan mengejar sensasi


Pereka berkerut dahi merekakan prototype terkini
yang dia memuncung bibir sekadar mengagumi
ke mana kah keperluan ilmu dan kepakaran yang dipelajari
bila jurutera elektronik pun sekadar tahu mengguna


Memangnya begitu minda masyarakat pengguna?
sekadar tahu untuk mengguna
tapi tidak berfikir untuk mencipta?
sekadar mampu mengagumi;
tapi tidak untuk merintis dan menerajui?



23th May 2013
Kuala Selangor

Wednesday 22 May 2013

Bukan Puji yang kau Perlu




Tidak usah kau memanipulasi kenyataan,
 Cerdik pandai dari luar yang tidak menahu,
Untuk dipertontonkan di dada berita;
konon kata puji akan hal itu dan ini,

Yang kau perlu cuma mendengarkan;
Cukuplah diseru kehadapan seorang murbawan,
Yang telah muak dengan kepura puraan,
untuk menghamburkan kata yang kau benar perlukan.



23th May 2013
Kuala Selangor.

Saturday 18 May 2013

Mendefinisi Semula Erti Perjuangan


Mengapa harus marah ketika disanggah?
Mengapa harus terjentik bila dikritik?
Kalau ini kau gelarkan perjuangan;
Memang seharusnya tiada yang mudah.

Kalau begitu lah laksananya umpama;
menjulang teguh panji biru;
Kukira itupun satu perjuangan;
Dalam gelora panji hijau dan yang lain menggema;
Kerana itu juga harus melalui detik kesukaran.

Namun sebenarnya dalam meniti arus perjuangan,
perlu satu pendefinisian semula yang lebih kritikal,
Apa ia perjuangan yang menegakkan kebathilan,
atau memperteguh jati yang meniti jalan kebenaran?


19th May 2013
Jeram, Kuala Selangor

Supra - Partisan



lain warna 
lain bendera 
lain axis lain paksi
kerana aliran sedikit beda


yang di India
tiada khabar berita
yang di Malaysia
tiada ingin ia bertanya


dan seperti Faizal Tehrani
dengan idea supra-mazhabnya
mengapa tidak boleh pula kita
dengan supra-partisan untuk terus bersama?



16th May 2013
Tasik Puteri, Selayang.

Monday 13 May 2013

Selamat Berkhidmat

Salam Kepada Yang Berhormat dan mahu dihormat
Ini terkarang sedikit ikhlasnya nasihat
dan harapan tulus hamba selaku rakyat
di negara yang merdeka lagi berdaulat

Kepada Yang Berhormat dan mahu dihormat
Selamat menjabat tugas melunas khidmat
Moga dipermudah Allah bagi usaha yang giat
lakukan tugas dengan penuh cermat dan hemat

Kepada Yang Berhormat dan mahu dihormat
isu perkauman jangan dibuat mainan - harus dipererat
jangan diracun anasir propa dan kata laknat
agar rakyat tidak merasa lagi seperti terkhianat




Sekali lagi, Selamat Berkhidmat Yang Berhormat.




14th May 2013
Tasik Puteri, Selayang.

Kau Yang Berkhidmat

Alahai kau ini - Yang Berkhidmat;
Kalau Cina bersikap kauvinis;
itu memang agak patut;
kerana kita pun sudah lama agak rasis.

Alahai kau ini - Yang Berkhidmat;
Kalau Cina berasa iri di hati;
itu memang sangat patut;
kerana kita pun sudah lama menzalimi;


14th May 2013
Tasik Puteri, Selayang

Magis #02


Tak diperlu ahli silap mata yang tak laku;

diperlu hanya wakil spr datang bertamu;

sebaik cahaya tiba dan kelam mula sirna;

mata seolah tak percaya dan lidah kelu berbicara.





14th May 2013
Tasik Puteri, Selayang.

Magis Black Out #505


Jika semalam si wanita berbusana ketat sendat;

Dicuba dihunus ditikamnya tak lut senjata;

Jika semalam dalam masa cukup singkat;

Ahli silap mata boleh terapung di udara;

Jika semalam Statue of Liberty hilang;

Dibuatnya lenyap tanpa jejak dari mata.



Namun hari ini jangan pula terkesima ;

Akan ulah Magis yang cukup luar biasa;

Magis yang berhasil menafikan realiti;

Magis yang menang menentang nyata;



Magis ini sedikit lucu tapi tetap ia baru;

Yang kalau sekali saja dipersembahkan;

Satu buana akan merasa seolah tak percaya;

Kerna difikirkan cukup dirasakan luar biasa;

diberikan magis ini - ‘Magis Black Out’ namanya.




14th May 2013
Tasik Puteri, Selayang.

Siang Yang Selalu Terburu


Malam - yang sebegini syahdu..

Tiba tiba disapa ..

Siang yang memang begitu..

Datangnya selalu terburu..




Masih asyiq dalam ceratuk..

insan insan yang sendu..

Berat melepas akhir yang suntuk..

Sebelum puas melampias rindu..




malam esok belum tentu..

Mercup lagi ruang dan waktu..

Untuk kita ini yang setia menunggu..

sebelum rapuh dimamah waktu..



Jeram, Kuala Selangor.
17 Februari 2013

Beban Sejarah


Kata Voltaire Sang Pemikir..
Fakta runcitan kepada sejarah..
Tak kurang bezanya..
Barang angkutan kepada seorang hulubalang..
Jika terbeban semata dengan barang runcitan..
Nescaya terzalimilah sang hulubalang..

Begitu pula dengan akal insan..
bila terlalu dirunsingkan..
Dengan bual, bahas dan perdebatan..
akan fakta fakta runcitan..
Nescaya tertindaslah ia.

Apa yang selalu ditinggalkan insan..
Adalah pengajaran dan teladan..
Agar menjadi bekalan yang mencukupkan..
Untuk nanti kita maju mendepani zaman..


Jeram, Kuala Selangor
17 Februari 2013

Sebelum Ketibaan Makna


Sebelum diri tiba kepada makna;
Sebelum makna hadir ke dalam diri;
Jangan terlalu suka dalam berkata;
Konon kita benar tahu.



13th May 2013
Tasik Puteri,Selayang.

Note : Ketibaan makna kepada diri adalah makna bagi ilmu seperti yang disyarahkan oleh Prof SN Al Attas.

Saturday 11 May 2013

Rumus Nan Khusus




Pernah, cuba ku hitung kasih sayangmu;

Memakai rumus segi tiga pascal;

Namun hasil yang dapat cuma;

Deretan nombor yang semakin mengganda.




Pernah, cuba ku hitung kasih sayangmu;

Mengguna rumus algebra;

Namun hasil yang terlihat cuma;

Kombinasi huruf dan nombor yang sukar ku terjemahkan.




Pernah, cuba ku hitung kasih sayangmu;

Meminjam rumus si genius Adiputra;

Namun belum sempat mula ku angkat bendera;

Tak sampai akal mahu pula mengguna.




Sampai masa ku akui aku kalah;

Yang tahu rumus nan khusus hanyalah Allah;

Pintaku agar diberi kekuatan meneruskan tugas ini walau tidak mudah;

Agar bisa membuat hidupmu bahagia dan berasa indah.



12th May 2013
Tasik Puteri, Kuang, Selayang.
Cuba untuk buat satu piece yang boleh menebuk relung hati yang dalam. Tapi tak berapa menjadi.

Tempat Tak Tenang





layar tak sempat berbelok


sauh tersangkut di terumbu karang


mana dapat ilmu masuk


Bila dipilih tempat tak tenang



12th May 2013
Tasik Puteri, Kuang, Selayang.

Sumpah Sang Kelembai



Duka rasa nan kian lama bertakhta;

Haiwan buruan diterka teramat perkasa;

Menung yang dalam memercup ilham;

Alatan mula dicapai; disini titik mulanya.



Sehari hari gajah dilihat amat kuasa;

Ditombak direjam tak lut senjata;

Dicitakan mereka kekuatan yang sama;

Dimanifestasi dalam ukiran secuba serupa;



Manusia purba telah mati;

Namun lestari masih ukir karyanya;

Manusia moden menemukannya kini;

Namun berbeza rasa firasatnya;




Batu mirip gajah itu ditekuni;

dengan perkakas canggih lengkap disisi;

Teruja pula rasa hendak mencanang pada buana;

“Inilah sumpahan Sang Kelembai seperti apa dikata!”





12th May 2013

Tasik Puteri, Kuang, Selayang.

Satu insight menarik yang 'disyarahkan' oleh Cikgu Ahmad Fuzi dalam kelas Pengajian Am semasa mengambil Tingkatan 6 pada tahun 2011. Dilestari dalam bentuk puisi supaya tak hilang dari ingatan.

Thursday 9 May 2013

Hati Mana Yang Rela



Hati mana tak redha –

Jika tersurat - memang satu ketentuan;

Tapi hati mana yang rela –

Bila yang terlihat - memancing keraguan;




Dan aku memilih untuk tetap meneliti;

Sisi sisi yang menimbulkan sangsi;

Biar di tangan belum ada bukti;

Biar di mata belum lagi kafi.




Seperti kata pepatah Jawa;


becik ketitik olo ketoro;

Yang haq akan kelihatan,

Yang batil juga akan ditunjukkan.




10th May 2013
Jeram, Kuala Selangor

Mengendarai Perubahan




Sedang kita asyik mengendarai perubahan;

Susah senang biar kita sendiri - sama cukupkan;

Usah dirayu bantuan kuasa luar yang berkepentingan;

Malang hari – nanti kita menyimpang dari landasan.



Duka sejarah lama,

Patut sama kita ambil pedoman,

Betapa ulahnya campur tangan,

Hanya nanti mengundang kebinasaan.



10th May 2013
Jeram, Kuala Selangor

Agar Tetap Merasa Manusia





setenang mana si introvert dalam guanya,

masih perlu ia teman bicara;

agar ia merasa tetap manusia;

biar dunia sedikit beda.



9th May 2013
Jeram, Kuala Selangor

Bila Rindu




Bila dekat;

Kuat mendebat;

Bila jauh;

Rindu menggebu.





9th May 2013.
Jeram, Kuala Selangor.
Rindu housemates di Tasik Puteri.

Untung Nasib Yang Belum Tahu





1511 dulu – Si Feringgi angkuh berkata,

Melayu pemalas! – buat jarum pun tiada ia tahu,

Atuk nenek kita tetap melawan sambil menyanggah;

Walau terkorban jiwa dan raga.



1800 – British masih membunyikan slogan sama;

Atuk nenek kamu pemalas! – buat jarum pun tiada ia tahu;

Anak Melayu ketika itu - hanya menunduk kaku;

Bertanya diri – mengapa malang ia lahir sebagai Melayu.





  Hari ini Israel berkata;

Berdirinya Israel untuk keamanan dunia;

Mujahidin ikhlas belum ragu - tetap semangat melawan ulah,

Ilmuwan jujur belum keliru - masih gagah dalam menyanggah.





Tapi nanti di masa hadapan;

Kita belum tahu untung nasib rakyat Palestin;

Apakah anak Palestin – mindanya sudah tertawan?

Apakah ilmuwan jujur hanya memenuhi ruang tahanan?




Masih luas ruang ruang kosong;

Untuk kita sama penuhkan;

 Sama ada pedang – jadi pilihan;

Juga dengan ilmu – lawan indoktrinasi kebathilan.








9th May 2013
Jeram, Kuala Selangor : Sambil melirik pedih ulah indoktrinasi berusia ratusan tahun, terlirik juga resah bisa yang bakal menular.

Aku Harus Berbuat Apa?





Belum pernah ku saksi;

Burung  burung;

Bergantungan di udara;

Tidak tahu kemana harus terbang.





Tetapi hampir saban hari;

Ku menyaksi - ramai pula manusia,

Menongkat dagu - bertanya diri;

“Hari ini - aku harus berbuat apa??”






Triggered on                 :                   7th May 2013
Completed on               :                   7th May 2013
Place                              :                   Jeram, Kuala Selangor

Bebas Namun Berarah




Ku lihat- camar terbang bebas di udara;

Langit terbentang luas untuk diteroka;

Tetap terbang dalam formasi serupa;

Semua menuju destinasi yang sama.




“siapa yang dimana mana - tak kemana”,

Kata pepatah entah dari siapa,

Tapi ku rasa sangat bermakna pula,

Untuk sama kita renungi sedalam berapa.




Kebebasan berfikir - memang fundamental;

Eksitisme manusia dari kelam kejumudan;

Tetapi apakah ertinya kebebasan;

Tanpa kafinya arah juga tujuan.






Triggered on               :                   7th May 2013
Completed on            :                   7th May 2013
Inspired by                 :                   Recent encounter with the Liberal activists.

Sinergi Fikir dan Zikir





Aku rimas dalam keramaian;

Nanti fikir ku celaru bertambah buntu,

Sampai nanti yang ku lakukan –

hanya akan mengundang penyesalan:



Berikan aku sedikit ruangan;

Untuk aku - berkeseorangan;

Agar dapat ku rasai sedetik ketenangan,

Agar fikir dan zikir dapat - ku sinergikan.



Triggered on                     :                   7th May 2013
Completed on                     :                   7th May 2013
Place                              :                   Jeram, Kuala Selangor
Inspired by                       :                   knowing thyself

Lain Manusia Lain Ragamnya





ada yang masih berdengkur;

ada yang langsung tak boleh tidur;

ada yang pasrah - "nasi dah jadi bubur.."

ada pula yang bersedia dengan dokumen penting di exit door.



5th May 2013
Jeram, Kuala Selangor